You are here:: Home
 
 

Aluan Guru Besar

E-mail Cetak PDF

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh kepada guru-guru  dan staf sokongan yang dihormati sekalian. Syukur saya ke hadrat Allah SWT kerana atas rahmat dan rezeki yang dilimpahkan oleh-NYA dapatlah kita bertemu kembali pada sesi persekolahan 2011 dalam keadaan sihat, gembira dan sejahtera.

Sekolah Rendah Islam Ibnu Nafis merupakan sebuah sekolah swasta yang tidak dinafikan dari segi prasarananya masih dalam proses penambah baikan. Namun apa yang membanggakan saya hingga kini  di mana SRIIN mempunyai kuasa sumber manusia yang diselubungi roh islam tidak kira daripada kalangan guru mahu pun staf sokongan yang ada. Mereka ini mampu untuk merealisasikan visi dan misi sekolah agar menjadi kenyataan. Kepelbagaian kebolehan dan kepakaran yang ada di kalangan guru-guru merupakan aset penting yang boleh dimanipulasikan untuk kita bersama demi mempertingkatkan pencapaian sekolah. Gandingan guru lama yang berpengalaman dan guru baru yang bertenaga dan teruja mampu mengatasi segala masalah yang berkait dengan tugas utama kita iaitu mendidik anak bangsa menjadi insan yang kamil dan berketrampilan apabila mereka meninggalkan sekolah ini.

Perkembangan dan kemajuan dalam pendidikan tanah air mendesak guru menguasai pelbagai kemahiran generik seperti kemahiran berfikir, kemahiran mengguna dan mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, kemahiran belajar dan kebolehan menguasai bahasa dengan baik. Sehubungan dengan itu, kursus-kursus jangka pendek dan jangka panjang yang di rangka untuk guru adalah bersesuaian dengan matlamat dasar pendidikan negara. Latihan dalam perkhidmatan ini bukan sahaja membuka peluang kepada guru untuk meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran, malah merupakan laluan untuk meningkatkan kerjaya perguruan. Selain itu,   amalan membaca wajar menjadi amalan semua guru. Melalui amalan membaca, guru akan dapat mengikuti dan meneliti perkembangan terbaru dalam bidang pendidikan dan meningkatkan tahap profesionalisme diri di samping menjadi contoh yang baik kepada anak didik kita.
Mengenai agihan tugas yang ada dalam takwim ini, ianya merupakan kerja-kerja rutin yang mesti dilaksanakan untuk melengkapkan tugas kita sebagai guru yang mampu menjalankan banyak tugas dalam satu-satu masa. Istilah ‘multi-tasking’ memang sinonim dengan kerjaya kita sebagai seorang guru. Marilah kita sama-sama menjalankan tanggungjawab kita tanpa sedikit pun rasa irihati, kecewa dan apa pun perasaan negatif yang akan mengekang kita dari memberi yang terbaik selama kita bertugas di sekolah ini.

Akhir kalam, sebagai warga SRIIN, sama-samalah kita menjalankan tanggungjawab kita dengan penuh keikhlasan dan keihsanan semata-mata kerana Allah dan berdoa agar anak didik kita bakal menjadi khalifah dan pewaris kegemilangan agama, bangsa dan negara di masa hadapan dalam membenteras kekufuran. Insya Allah .

 

Ustaz Mohd Azlan Bin Alias
Guru Besar
Sekolah Rendah Islam Ibnu Nafis